Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.13.04 MUDRAJ (المدرج) Bhg. 04

02.13.04 MUDRAJ (المدرج) Bhg. 04

369
0
Iklan

Panel: BroSyarief
#160207 Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

02.13.04 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي) – Percanggahan Riwayat Tsiqah dan Jenis-jenisnya (مخالفة الثقات وأنواعها).

#NotaBroSyarief #AsasIlmuHadits #UiTOBilik40

Susunan: BroSyarief

MUDRAJ (المدرج) Bhg. 04

Cara Mengenal Pasti Idraj:

1. Merujuk kepada sanad yang terasing dari riwayat yang berbeza.

Contohnya seperti apa yang diriwayatkan oleh Abu al-Walid, dari Syu’bah, dari ‘Abdullah ibn Dinar, dari ‘Abdullah ibn ‘Umar, katanya:

نَهَى عَنْ بَيْعِ الثِّمَارِ حَتَّى يَبْدُوَ صَلَاحُهَا

‘Nabi melarang jual beli buah-buahan, sehinggalah jelas kelayakan buah-buahan tersebut (untuk dijual)’

وَكَانَ إِذَا سُئِلَ عَنْ صَلَاحِهَا، قَالَ: حَتَّى تَذْهَبُ عَاهَتُهَا

Dan pernah apabila dia ditanya tentang (maksud) kelayakan buah-buahan tersebut, dia menjawab: (Ia bermaksud) Sehingga hilang kekurangan (disebabkan belum masak) pada buah-buahan tersebut.

al-Khatib (w.463H) menyebutkan:

الْمَسْئُولُ عَنْ صَلاحِ الثَّمَرَةِ وَالْمُجِيبُ بِقَوْلِهِ: ‘حَتَّى تَذْهَبَ عَاهَتُهَا’ لَيْسَ هُوَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنَّمَا هُوَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ

Orang yang ditanya dan menjawab tentang keelokan buah-buahan tersebut bukan Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, tetapi dia ialah ‘Abdullah ibn ‘Umar.

بَيَّنَ ذَلِكَ مُسْلِمُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ الأَزْدِيُّ، وَمُحَمَّدُ بْنُ جَعْفَرٍ غُنْدَرٌ فِي رِوَايَتِهِمَا هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ شُعْبَةَ،

Muslim ibn Ibrahim al-Azdi dan Muhammad ibn Ja’far Ghundar, telah menjelaskan pada periwayatan mereka bagi hadits ini dari Syu’bah.

وَرَوَاهُ سُفْيَانُ الثَّوْرِيُّ، وَسُلَيْمَانُ بْنُ بِلالٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ دِينَارٍ، فَلَمْ يَذْكُرَا قَوْلَ ابْنِ عُمَرَ بَلِ اقْتَصَرَا عَلَى الْمَرْفُوعِ حَسْب.

Sufyan ats-Tsauriy dan Sulaiman ibn Bilal juga turut meriwayatkan hadits ini dari ‘Abdullah ibn Dinar, dan mereka tidak menyebutkan ianya adalah kata-kata Ibn ‘Umar, malah mereka meringkaskannya sehingga yang kelihatan ianya marfu semata-mata.

[al-Fashlu lil-Washli al-Mudraj fi an-Naql]

2. Penjelasan dari periwayat sendiri sebagaimana yang berlaku pada hadits sempurnakan wudhu (Ruj: Nota 02.13.03) atau penjelasan dari sebahagian ulama hadits yang mengkaji riwayat tersebut, seperti contoh Idraj di pertengahan matan.

3. Mengenal pasti akan mustahilnya Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam menyebutkan perkara sedemikian rupa, seperti yang disebutkan pada contoh Idraj di hujung matan.

Hukum Idraj:

Sekiranya ia bertujuan untuk menjelaskan makna dari sesuatu lafaz hadits, maka terdapat ruang keterbukaan untuk menerimanya, namun yang diberi keutamaan adalah pada riwayat yang jelas menyebutkan bahawa ianya adalah penjelasan.

Adapun kesilapan tambahan oleh periwayat secara tidak sengaja, maka tiada masalah bagi periwayat tersebut, kecuali jika terlalu banyak kesilapan itu berlaku, menyebabkan dia akan dihukum sebagai lemah dari sudut kredibiliti intelektualnya.

Sekiranya periwayat melakukannya dengan sengaja, maka ianya haram kerana padanya terdapat usaha menimbulkan kekeliruan dan pembohongan, maka kredibilitinya akan gugur, dan kedudukannya akan dianggap sebagai orang yang dituduh mencipta hadits palsu, di kalangan para pembohong.

Penulisan Berkaitan Mudraj:

01 al-Fashl lil-Washl al-Mudraj fi an-Naql, karangan al-Khatib al-Baghdadi
02 Taqrib al-Manhaj bi Tartib al-Mudraj, karangan Ibn Hajar.
03 al-Madraj ila Ma’rifatul al-Mudraj, karangan as-Suyuthiy.
04 Tashil al-Madraj ila al-Mudraj, karangan al-Ghumaariy.

walLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.
__

#صحح_لي_إن_كنت_مخطئاً
#BroSyariefShares

Komen dan Soalan