Utama Bilik (20) Silsilah Hadith Sahih Bukan semua yang dikatakan “hadits” benar-benar berasal daripada Rasulullah ﷺ

Bukan semua yang dikatakan “hadits” benar-benar berasal daripada Rasulullah ﷺ

57
0
KONGSI

UiTO Channel: Tazkirah Harian

Panel: Ustaz Adli Khalim

Tajuk: Bukan semua yang dikatakan “hadits” benar-benar berasal daripada Rasulullah ﷺ

= = = = = = = = = =

Daripada `Abdullah bin `Amru radhiyallahu `anhuma, sabda Rasulullah ﷺ:

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ، وَلَا حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat. Dan riwayatkanlah daripada Bani Isra’il, itu tidak mengapa. Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, siapkanlah tempat duduknya dalam neraka.”
[HR Al-Bukhari, no 3461]

= = = = = = = = = =

Ulasan:

1. Sering kali kita lihat di penghujung mesej atau email, biasanya dituliskan: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.” Tidak dapat dinafikan bahawa ayat tersebut merupakan satu petikan daripada hadits yang shahih, dan kata-kata Rasulullah tersebut memberikan satu motivasi kepada umat Islam untuk terus menyampaikan mesej agama.

2. Namun, penghantar mesej atau email tersebut kadang-kadang tidak tahu atau lupa tentang sambungan hadits tersebut. Di samping kata-kata yang menjadi motivasi untuk menyampaikan mesej agama, Rasulullah ﷺ juga telah menyebutkan satu ancaman berat (ancaman tempat duduk dalam neraka) bagi sesiapa yang berdusta atas namanya.

3. Berdusta atas nama Rasulullah ﷺ adalah dengan mengatakan bahawa Rasulullah bersabda sedemikian atau Rasulullah melakukan sedemikian, sedangkan baginda tidak bersabda atau melakukan seperti yang didakwa. Inilah yang dinamakan sebagai hadits palsu (maudhu`).

4. Para sahabat sangat berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu kata-kata atau perbuatan kepada Rasulullah ﷺ. Contohnya Az-Zubair radhiyallahu `anhu, ketika ditanya oleh anaknya (`Abdullah bin Az-Zubair radhiyallahu `anhuma): Aku tidak pernah mendengar ayah menyebutkan sesuatu daripada Rasulullah ﷺ seperti orang lain? Jawab Az-Zubair: Sesungguhnya aku tidak pernah berpisah daripada baginda, namun aku pernah mendengar baginda bersabda: “Sesiapa yang berdusta atas namaku, siapkanlah tempat duduknya di neraka.” [HR Al-Bukhari, no 107]

5. Sebahagian umat Islam mungkin akan berkata: “Kami bukannya sengaja berdusta, kami cuma menyampaikan sahaja apa yang kami dengar.” Jawapannya adalah:

(a) Ibn Hibban[1] dalam kitab shahihnya telah membuat satu bab: Fasal tentang menyebutkan ketetapan memasuki neraka bagi sesiapa yang menisbahkan sesuatu kepada Al-Mushthafa ﷺ, sedangkan dia tidak mengetahui keshahihan riwayat tersebut.

(b) Hadits ancaman berdusta atas nama Rasulullah ﷺ telah datang dalam pelbagai riwayat, sebahagiannya memang menyebutkan “berdusta atas namaku dengan sengaja…”, namun sebahagian yang lain hanya menyebutkan “berdusta atas namaku…”

6. Sebahagian umat Islam pula mungkin akan berkata: “Kami berdusta atas nama kebaikan, bukannya untuk membuat keburukan atau kejahatan.” Jawapannya adalah:

(a) Menurut An-Nawawi[2], tiada beza dalam pengharaman berdusta atas nama Rasulullah ﷺ, sama ada dalam bab hukum, atau bab targhib dan tarhib, atau nasihat, dan sebagainya. Semuanya haram hukumnya, dan merupakan sebesar-besar dosa.

(b) Al-Hafiz Ibn Hajar[3] telah mengkritik sebahagian pihak yang mengatakan dibolehkan berdusta atas nama Nabi ﷺ sekiranya untuk menguatkan syari`at baginda dan dalam bab targhib wa tarhib (ganjaran dan ancaman). Menurut beliau, ini adalah dakwaan yang batil kerana ancaman tempat duduk di neraka terkena kepada semua orang, dan agama Allah telah lengkap dan tidak perlu dikuatkan dengan sebarang pendustaaan.

= = = = = = = = = =

Footnote:
[1] Ibn Hibban, Shahih Ibn Hibban, hadits no 28.
[2] An-Nawawi, Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim, Muqaddimah Shahih Muslim.
[3] Ibn Hajar Al-`Asqalani, Fath Al-Bari (syarah Shahih Al-Bukhari), hadits no 3461.

= = = = = = = = = =

Hashtag: #kenalquransunnah

Komen dan Soalan