Utama Bilik (40) Asas Ilmu Hadits 02.08.02#080615 : AL-MAWDHU’ (الموضوع) – Bhg 02

02.08.02#080615 : AL-MAWDHU’ (الموضوع) – Bhg 02

133
0
Iklan

Bilik (40) Asas Ilmu Hadits

Nota 02.08.02 Hadits al-Mardud (المردود) Kategori Kritikan pada Periwayat (الطعن في الراوي)

Susunan: BroSyarief

AL-MAWDHU’ (الموضوع) – Bhg 02

Terdapat dua bentuk pemalsuan yang dilakukan dalam periwayatan hadits:

01. Pemalsu tersebut mereka kata-kata dari fikirannya sendiri, kemudian menyandarkannya kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, atau selain daripada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam:

Contoh apa yang dipalsukan dengan menyandarkan kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, dikatakan bahawa Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لَوْ أَحْسَنَ أَحَدُكُمْ ظَنَّهُ بِحَجَرٍ لَنَفَعَ

“Kalau salah seorang dari kalian memperbaik sangkanya terhadap batu, nescaya ia akan memberi manfaat”

Hadits ini direka oleh para penyembah berhala.

Adapun contoh apa yang dipalsukan atas nama selain Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, seperti atas nama sahabat, adalah seperti yang direka oleh Syiah Rafidhah di atas nama ‘Ali ibn Abi Talib, di mana dikatakan dia menyebut:

لَمَّا غَسَّلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اقْتَصَلْتُ مَاءَ مَحَاجِرِ عَيْنَيْهِ فَشَرَبْتُهُ فَوَرِثْتُ عِلْمَ الأَوَّلِينَ وَالآخِرِينَ

“Ketika aku memandikan (jenazah) Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, aku dapatkan air yang bertakung di kedua matanya dan aku meminumnya, maka akupun mewarisi segala ilmu orang-orang terawal dan orang-orang terkemudian”

02. Pemalsu mengambil kata-kata orang lain selain Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam, sama ada sahabat, tabi’in, hukama atau dari sumber israiliyyat, kemudian mereka sandarkan kata-kata tersebut kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam supaya ianya tersebar di kalangan manusia dan diterima.

Contohnya kata-kata yang dinisbahkan kepada Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam yang dikatakan bersabda:

أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

“Cintailah kekasihmu berpada-pada, kerana boleh jadi dia menjadi musuhmu satu hari nanti. Dan bencilah musuhmu sekadarnya, kerana boleh jadi dia menjadi kekasihmu satu hari nanti”

Yang sahih, kata-kata ini adalah dari ‘Ali ibn Abi Talib radhiyalLaahu ‘anhu.

Begitu juga contoh berikut, dikatakan bahawa Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam bersabda, menyebutkan hadits Qudsi, di mana Allah berfirman:

مَا وَسِعَنِي سَمَائِي وَلا أَرْضِي ، وَلَكِنِّي وَسِعَنِي قَلْبُ عَبْدِي الْمُؤْمِنِ

“Tidaklah dapat menampungKu, langitKu mahupun bumiKu, tetapi yang dapat menampungKu, hati hambaKu yang beriman”

Kata Ibn Taymiyyah:

هو مذكور في الإسرائيليات ، وليس له إسناد معروف عن النبي صلى اللَّه عليه وسلم

Ianya disebut di dalam sumber-sumber Israiliyyah, dan tidak ada baginya sanad yang diketahui dari Nabi sallalLaahu ‘alaihi wa sallam.

WalLaahu a’lam

Ruj: Ulum Al-Hadits Asiluha wa Mu’asiruha, karangan Prof Dr Abullayts KhairAbaadi.

#9DaysLeftForRamadhan
#BroSyariefShares

Komen dan Soalan